FEDERER meraikan kemenangan ke atas Djokovic di Arena O2, London, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

ROGER Federer menghasilkan persembahan hampir sempurna ketika dia membalas dendam kekalahan Wimbledon di tangan Novak Djokovic sekali gus layak ke separuh akhir Pusingan Akhir ATP dengan kemenangan 6-4, 6-3 di London awal pagi tadi.

Bintang Switzerland itu memulakan kejohanan langkah kiri apabila tewas dua set terus kepada Dominic Thiem namun menemui semula prestasi terbaiknya ketika masa amat memerlukan.

Kekalahan Djokovic, pilihan kedua kejohanan menamatkan usahanya untuk mengambil alih tempat Rafael Nadal dan menamatkan tahun sebagai pemain nombor satu dunia.

Pilihan ketiga itu, yang melakukan penampilan ke-17 pada Pusingan Akhir ATP, layak ke separuh akhir buat kali ke-16 pada kejohanan penamat musim itu.

DJOKOVIC membalas pukulan Federer pada aksi terakhir peringkat kumpulan. — FOTO Reuters

Djokovic perlu menang kejuaraan itu untuk berpeluang merampas tangga teratas daripada Nadal, namun kini pemain Sepanyol itu sudah terjamin menamatkan tahun sebagai pemain ranking pertama buat kali kelima, menyamai pencapaian Federer, Djokovic dan pemain Amerika Syarikat, Jimmy Connors.

“Suasana hebat, lawan hebat,” kata Federer, yang melakukan 23 pukulan ‘winners’ dan hanya lima ‘unforced errors’. “Jelas ia terlalu istimewa. Saya menikmatinya sejak awal permainan.

“Saya bermain dengan mengagumkan dan saya sedar perlu bertindak baik kerana itulah yang dilakukan Novak. Ia jelas satu detik ajaib.”

Federer berakhir sebagai naib juara Kumpulan Bjorn Borg, di belakang Thiem, yang turut mengalahkan Djokovic awal minggu ini. Pemain Switzerland itu akan berdepan juara Kumpulan Andre Agassi, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 12:46 PM