SAINGAN MPFL musim depan dijangka dihangatkan lagi dengan penyertaan pemain import.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


IMPIAN melihat saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) pada masa depan dimeriahkan dengan kehadiran pemain import bakal menjadi kenyataan.

Tentunya ia berita gembira buat pasukan bercita-cita menerajui liga futsal kebangsaan dengan mendapatkan khidmat bintang futsal antarabangsa, sekali gus bakal mewujudkan saingan lebih kompetitif.

Naib Presiden FAM, Datuk Rosmadi Ismail sewaktu dihubungi berkata, perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kelmarin.

“Namun, kita belum buat keputusan lagi dan perkara ini akan saya bawa pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif FAM untuk pertimbangan nanti,” katanya dihubungi Arena Metro.

Cadangan membuka ruang pemain import beraksi pada liga futsal kebangsaan pernah dibangkitkan pada 2014, namun belum menjadi kenyataan sehingga kini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rosmadi berkata, musim kedua MPFL 2020 dijangka bermula pada Februari depan dengan jenama peralatan rumah, Cuckoo menaja Piala Futsal Malaysia yang diperkenal kali pertama.

Sementara itu, pengurus pasukan futsal wanita Selangor, Nor Azmi Mohd Rosli menyambut baik perancangan FAM untuk membenarkan penggunaan pemain import dalam MPFL.

Katanya, begitupun kajian teliti perlu dibuat bagi mengelak timbul isu seperti perbezaan layanan dan gaji pemain import berbanding tempatan.

“Isunya bila pemain profesional import ini, soal gaji mereka akan jadi perbandingan dengan pemain tempatan. Ini akan timbulkan rasa tidak selesa kepada pemain tempatan.

“Pemain import ini selain gaji, mereka diberi kereta dan rumah, sedangkan pemain futsal tempatan sekarang juga profesional, tapi tidak dari segi layanan,” katanya.

Katanya, dia juga berpendapat perancangan FAM itu positif dalam usaha meningkatkan lagi kualiti saingan MPFL.

“Namun, kena ada had berapa ramai pemain import yang dibenarkan bagi mengelak sebarang isu. Saya berpendapat ada pasukan yang kaya dan ada yang tiada dana. Mungkin pasukan rendah ini tidak ambil pemain import, jadi kelebihan buat pasukan yang kaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 6:05 AM