PASANGAN negara Tan Yee Chun (kanan) dan Tan Chee Min giat berlatih untuk meraih pingat buat kem negara. FOTO MUSTAFFA KAMAL

SUKAN tarian mungkin kedengaran janggal bagi rakyat negara ini kerana jarang sekali dihebahkan kepada umum dan dianggap hanya sebagai hobi segelintir individu semata-mata.

Namun, acara itu pada hakikatnya sudah disertai skuad kebangsaan dalam dua edisi temasya Sukan SEA iaitu di Manila, Filipina pada 2005 dan Korat, Thailand (2007).

Kini, selepas 12 tahun, kem negara kembali menggalas cabaran dengan mempertaruhkan sembilan atlet lelaki dan wanita untuk merebut pingat di Filipina, bulan depan.

Ketua jurulatih kebangsaan, Chua Zjen Fong berkata, sukan tarian yang bakal berlangsung di Clark itu mempertandingkan tiga kategori iaitu tarian berpasangan biasa (standard), Latin Amerika dan ‘breaking’.

“Semua kategori itu merangkumi 14 acara atau pingat emas yang dipertandingkan hanya sehari iaitu pada 1 Disember dengan turut disertai pesaing terkuat, Thailand, Vietnam dan Filipina.

“Namun, kami kekal optimis mampu meraih tiga pingat tanpa mengira warna buat negara dalam 13 acara yang bakal disertai nanti,” katanya.

Keyakinan itu berdasarkan persiapan atlet yang menyertai beberapa kejohanan antarabangsa selain menjalani latihan intensif di luar negara seperti Itali, Russia dan Slovenia.

Kata Zjen Fong, empat atlet di bawah bimbingannya boleh dianggap sebagai senior yang mempunyai banyak pengalaman dan pendedahan dalam sukan itu.

“Selain itu, kami memiliki wakil tunggal berpengalaman bagi acara tarian breaking yang julung kali dipertandingkan pada temasya berkenaan,” katanya yang berpangkalan di pusat latihan utama Akademi MyDanceSport di Jalan Kasipillay, Kuala Lumpur.

Penilaian mata bagi sukan itu hampir sama dengan acara gimnastik berirama, antaranya berdasarkan kualiti teknikal atau pergerakan, keserasian dengan muzik dan hasil koreografi atau persembahan secara keseluruhan.

Acara Latin Amerika merangkumi lima ciri utama tarian iaitu samba, cha-cha, rumba, paso-doble dan jive manakala standard pula membabitkan waltz, tango, viennese waltz, slow fox trot dan quick step.

Kedua-dua acara itu menetapkan persembahan selama dua minit manakala tarian breaking hanya seminit.

Untuk rekod, Malaysia meraih satu gangsa bagi acara berpasangan rumba pada edisi 2007.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 6:00 AM