SILVA bandingkan Mendy dengan kacang bersalut coklat. - FOTO Agensi
Reuters

PEMAIN tengah Manchester City, Bernardo Silva digantung satu perlawanan dan denda 50,000 pound (RM265,000) susulan kenyataan dalam Twitter berkaitan rakan sepasukan dari Perancis, Benjamin Mendy, menurut Persatuan Bolasepak (FA) hari ini.

Silva dikritik oleh badan anti perkauman Kick It Out selepas memaparkan mesej pada 22 September lalu yang membandingkan Mendy dengan kacang bersalut coklat iaitu karakter dalam logo Conguitos, biskut popular di Sepanyol dan Portugal sebelum memadamnya.

"Silva digantung satu aksi kompetitif, denda 50,000 pound (RM265,000) dan sesi kaunseling bersemuka selepas akur menyalahi Peraturan E3 FA,” kata FA dalam satu kenyataan.

Badan induk bola sepak England itu menambah bahawa aktiviti media sosial itu juga melanggar FA Peraturan E3(1) kerana “menghina dan/atau kelakuan tidak sepatutnya yang menjejaskan sukan berkenaan.”

Juara Liga Perdana, Manchester City kini di tangga keempat dengan 25 mata daripada 12 perlawanan dan ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 11:31 PM