QABIL impi cipta sejarah atlet ekuestrian pertama negara layak ke Olimpik 2020.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


ISU peraturan imigresen dihadapi jaguh ekuestrian negara, Mohd Qabil Ambak Muhamad Fathil hingga dihalang memasuki Eropah, selesai sepenuhnya.

Menurutnya, berita gembira itu dimaklumkan Wisma Putra semalam, sekali gus memberi kelegaan kepadanya untuk merancang latihan dan persiapan menyertai baki pertandingan kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020.

"Pihak Wisma Putra secara rasmi memaklumkan saya boleh kembali ke Eropah semalam (Selasa). Namun saya merancang ke Makkah terlebih dulu untuk umrah. Apabila balik pada 25 November nanti saya akan terus ke Copenhagen, Denmark untuk latihan sebelum menyertai tiga pertandingan kelayakan," katanya ceria ketika dihubungi sebentar tadi.

Qabil Ambak,39, berkata, beliau amat bersyukur dengan perkembangan terbaru itu dan berharap impiannya untuk mencipta sejarah atlet ekuestrian pertama negara layak ke Olimpik 2020 tercapai.

"Memang saya amat lega. Alhamdulillah, harap dapat kumpul lebih banyak mata dalam pertandingan kelayakan nanti. Nampaknya saya kena buat perancangan semula jadual pertandingan yang akan disertai kerana sepatutnya saya akan ke Moscow jika tidak boleh memasuki Eropah. Tapi jika dibenarkan masuk (Eropah), saya akan ke Vienna, Austria," katanya sambil memaklumkan dia akan berada di Austria sehingga semua pertandingan kelayakan selesai pada akhir Disember nanti.

Tiga lagi pertandingan kelayakan akan berlangsung di Salzburg Arena Messezentrum, Austria dari 4 hingga 8 Disember, Frankfurt, Jerman (19-22 Disember) dan Mechelen, Belgium (26-30 Disember).

Pemenang pingat perak Sukan Asia, Indonesia 2018 itu tidak dapat kembali ke Eropah susulan tinggal melebihi tempoh visa selama 90 hari bagi mengikuti kejohanan kelayakan di Eropah dan dihantar pulang imigresen Denmark pada Ogos lalu.

Dia yang kini berada di kedudukan ketiga ranking kumpulan Asia/Oceania berpeluang cerah membaiki kedudukan seandainya menyertai enam lagi kejohanan kelayakan yang bakal berlangsung November hingga Disember ini, memandangkan hanya dua penunggang terbaik Asia/Oceania akan melayakkan diri ke Olimpik 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 7:45 PM