AMIN pernah menjalani ujian percubaan bersama kelab Harbour Hawk di New Zealand pada 2015.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


BAKAT pemain ragbi Malaysia terus diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila diikat sebuah kelab ragbi Jerman, TV 1834 Pforzheim Rugby.

Pemain terbabit, Mohd Amin Jamaluddin,30, menandatangani kontrak berdasarkan tempoh liga dan boleh diperbaharui bersama kelab yang beraksi di Rugby-Bundesliga.

"Saya memang tidak jangka dapat tawaran bermain di Jerman. Semuanya rakan saya yang bantu uruskan untuk kemasukan saya ke kelab ini. Memang saya bertekad melakukan yang terbaik bagi membantu kejayaan kelab," katanya dihubungi menerusi WhatsApp.

Menurutnya, dia menandatangani kontrak tiga hingga empat bulan sehingga 20 Mei 2020 dan sudah bersedia untuk bersaing dalam liga ragbi tempatan.

"Memandang pusingan pertama liga sudah bermula, saya akan beraksi dalam baki dua perlawanan saja. Tahun depan mungkin datang semula pada Februari untuk pusingan kedua liga," katanya yang berlepas ke Jerman pada 4 November lalu.

Mohd Amin yang juga anak jati Perlis adalah bekas pemain kebangsaan dan pernah menjalani percubaan bersama kelab Harbour Hawk di New Zealand pada 2015.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya gembira dengan perkembangan itu dan menegaskan pihaknya sentiasa berusaha supaya lebih ramai pemain negara dapat beraksi dalam liga profesional luar negara.

"Syukur Alhamdulillah, kita sentiasa berusaha untuk lebih ramai lagi pemain kita dapat bermain dalam liga professional di luar negara sambil berusaha untuk memulakan liga profesional di Malaysia.

"Perbincangan juga dibuat dengan liga utama Jepun dan Persatuan Ragbi Hong Kong untuk pemain kita bermain dalam liga mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, lima pemain Malaysia akan beraksi untuk pasukan ragbi Malaysia Valke dalam kejohanan Global Rapid Rugby bermula tahun hadapan di ibu negara.

Katanya, 80 peratus daripada pasukan itu akan dianggotai pemain daripada pasukan Afrika Selatan yang akan menukar pangkalan dari Johannesburg ke Kuala Lumpur untuk menyertai kejohanan yang berlangsung pada Mac hingga Jun 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 5:48 PM