LATIF catat 7.24 meter di UAE.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


JAGUH lompat jauh paralimpik kebangsaan, Abdul Latif Romly gagal mempertahankan pingat emas acara lompat jauh T20 pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Emiriah Arab Bersatu, sebentar tadi.

Pada aksi final di Dubai itu, atlet kelahiran Perlis itu meraih perak selepas akur dengan kehebatan atlet Belanda, Ranki Oberoi yang turut mencatat rekod baharu kejohanan iaitu 7.39 meter (m).

Abdul Latif bagaimanapun memberi tentangan sengit dengan menyempurnakan lima daripada enam lompatan dengan catatan terbaiknya, 7.24m.

Namun, Oberoi meranapkan impian pemegang rekod dunia kategori masalah pembelajaran itu apabila mengekalkan catatan terbaik biarpun dua lompatannya dibatalkan pengadil.

Pingat gangsa dimenangi Chala Espinoza dari Ecuador yang mencatat 6.68m.

Untuk rekod, Abdul Latif melakukan lompatan sejauh 7.37m pada edisi di London 2017, 0.02m lebih jauh daripada rekod kejohanan diciptanya dalam kejohanan sama di Doha, Qatar pada 2015.

Pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta tahun lalu, atlet berusia 22 tahun itu melakukan catatan terbaiknya 7.64m untuk memenangi emas sekali gus memecahkan rekod dunia miliknya di Sukan Paralimpik Rio 2016.

Kem olahraga paralimpik negara sebelum ini turut memperoleh dua perak menerusi jaguh lontar peluru, Ziyad Zolkefli dan Jonathan Wong (lompat jauh T12) manakala gangsa diraih jaguh pecut, Ridzuan Puzi (100 meter T36).

Kejohanan sehingga Jumaat ini menjadi platform terbaik buat atlet kebangsaan untuk merebut kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 4:58 PM