XHAKA ketika jalani latihan baru-baru. FOTO Reuters
Reuters

BEKAS kapten Arsenal Patrick Vieira mempertahankan Granit Xhaka yang kehilangan gelaran kapten selepas bertelagah dengan penyokong kelab itu bulan lalu.

Xhaka meluahkan kemarahannya terhadap penyokong tuan rumah yang mengejeknya selepas dikeluarkan daripada permainan ketika Arsenal seri 2-2 di Stadium Emirates dan sejak itu pemain berkenaan diketepikan daripada pasukan.

“Saya bersimpati dengannya kerana dia adalah seorang kapten dan melalui detik yang sukar di Arsenal,” kata Vieira.

“Saya fikir kita perlu ingat bahawa banyak yang dicapai olehnya sejak berada di Arsenal dan dia berhak dihormati.

“Apabila anda seorang pemain dan tidak beraksi seperti diharapkan, anda pastinya kecewa. Ada kalanya anda memperkatakan atau melakukan perkara yang anda kesali.”

Arsenal tewas 0-2 kepada Leicester City hujung minggu lalu, meletakkan mereka di tangga keenam Liga Perdana Inggeris dan memberikan tekanan terhadap jurulatih Unai Emery yang menerima sokongan daripada pimpinan kelab tetapi diminta untuk memperbaiki keputusan.

Vieira yang menang tiga gelaran liga bersama Arsenal juga menggesa penyokong berada di belakang penyokong mereka.

“Saya fikir beliau mempunyai pengalaman yang cukup untuk membantunya mengharungi detik yang sukar ini,” kata Vieira.

“Kita perlu menyokongnya dan memberikannya masa untuk mengubah keadaan. Saya tidak fikir dengan menukar pengurus akan menyelesaikan masalah.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 12:38 PM