REAL Madrid membantah rancangan La Liga mengadakan perlawanan di antara Villareal dengan Atletico Madrid di Miami. FOTO REUTERS
Reuters

REAL Madrid menulis kepada Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) untuk membantah rancangan La Liga mengadakan perlawanan di antara Villareal dengan Atletico Madrid di Miami, kata jurucakap RFEF awal pagi tadi.

Dalam surat itu Real menyifatkan aksi yang dicadangkan itu ‘menjejaskan integriti dan kesucian kejohanan itu’.

Real Madrid tidak memberi jawapan segera ketika mendapatkan ulasan manakala La Liga enggan memberi sebarang komen.

La Liga menandatangani kontrak 15 tahun dengan syarikat hiburan Relevent pada 2018 untuk mempromosi bola sepak Sepanyol di Amerika Utara, termasuk menganjurkan satu perlawanan setiap musim di negara itu.

Rancangan mereka untuk mengadakan perlawanan di antara Girona dan Barcelona Januari lalu tidak menjadi selepas Barcelona menarik diri daripada cadangan itu atas alasan tidak mendapat sokongan.

Begitupun liga itu memohon untuk mengadakan perlawanan di antara Villareal dan Atletico di Miami 6 Disember ini biarpun Presiden RFEF berkata pertubuhannya yang bersetuju dengan cadangan itu, terus menentang aksi liga di luar negara.

RFEF mengumumkan Selasa lalu bahawa Piala Super Sepanyol akan diadakan pada Januari 2020 di Arab Saudi tetapi Rubiables berkata tiada pertandingan bola sepak Sepanyol boleh diadakan di luar Sepanyol.

“Hanya Piala Super boleh meninggalkan Sepanyol, perlawanan kejohanan domestik tidak boleh meninggalkan Sepanyol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 11:51 AM