DEPAY mengalami kecederaan paha. FOTO/AFP
Reuters

PENYERANG Belanda Memphis Depay dikhuatiri tidak dapat beraksi dalam perlawanan penentuan Kumpulan C kelayakan Euro 2020 menentang Ireland Utara di Belfast awal pagi Ahad manakala Georginio Wijnaldum dijangkiti selesema, kata jurulatih Ronald Koeman awal pagi tadi.

“Dia (Depay) mengalami kecederaan paha yang sama yang memaksanya terlepas aksi sebelum ini menentang Belarus, cuma kali ini di kaki lain,” kata Koeman pada sidang media.

“Masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada dia boleh bermain pada Sabtu, biarpun Memphis sendiri cukup positif mengenainya.”

Jurulatih Belanda itu berkata beliau masih mempunyai pilihan di bahagian serangan ketika pasukannya memburu kemenangan untuk meletakkan mereka di landasan tepat untuk menamatkan saingan di tangga teratas, mendahului musuh ketat mereka Jerman.

“Jika Memphis tidak dapat bermain menentang Ireland, kami masih mempunyai empat pilihan lain yang boleh mengisi kekosongannya.”

Beliau mungkin memilih sama ada Ryan Babel, Wout Weghorst, Luuk de Jong dan pemain remaja Myron Boadu, yang dipanggil buat kali pertama.

Koeman berkata beliau kagum dengan bagaimana mudahnya pemain berusia 18 tahun itu menempatkan dirinya dalam skuad.

Koeman berkata beliau mahukan kemenangan ke atas Ireland Utara begitu juga aksi terakhir awal pagi Rabu depan menentang Estonia di Amsterdam.

“Saya mahukan enam mata bagi memastikan kami berada di tangga teratas kumpulan kerana ia akan membantu kedudukan pilihan sewaktu pusingan akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 10:14 AM