STERLING dan Gomez (kiri) bertengkar di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi Isnin. FOTO Reuters
Reuters

RAHEEM Sterling mungkin digugurkan untuk aksi England dalam kelayakan Euro 2020 menentang Montenegro di Wembley awal pagi Jumaat, susulan pertelagahan dengan rakan sepasukan Joe Gomez, namun bagi pemain sayap Callum Hudson-Odoi dia masih pemimpin buat Three Lions.

Pengendali England Gareth Southgate mengetepikan Sterling untuk aksi di Wembley awal pagi Jumaat selepas insiden di kantin pusat latihan mereka di St George Park pada Selasa.

Kedua-dua mereka bertengkar di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi Isnin apabila pasukan Sterling Manchester City tewas 1-3 kepada Liverpool, di mana Gomez hadir sebagai pemain gantian dalam aksi perebutan tangga teratas liga.

Southgate dan beberapa pemain berharap insiden itu dapat dilupakan. Sterling masih kekal di skuad itu dan mungkin diturunkan dalam aksi kelayakan menentang Kosovo awal pagi Isnin.

Begitupun pemain yang dijangka menggantikannya di barisan serangan awal pagi Jumaat, pemain sayap Chelsea Hudson-Odoi, tidak meragui kepentingan Sterling terhadapnya dan seisi pasukan.

“Seseorang seperti Raheem bagaikan idola saya. Posisi yang dimainkannya dan apa yang dilakukannya terhadap kelab dan negara adalah sesuatu yang menakjubkan, yang saya cuba lakukan sendiri.

“Sesuatu yang menakjubkan memiliki seseorang sepertinya melakukan apa yang disukainya dan berada di sisi anda setiap masa.

“Saya mahu terus belajar melakukan apa yang dilakukannya. Dia seorang yang baik, sangat positif,” kata pemain berusia 19 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 10:00 AM