CHENG Hoe mengendalikan sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM. - FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


SKUAD Harimau Malaya sudah bersedia dengan sepenuh kekuatan untuk menghadapi ledakan Thailand pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe berkata, kemenangan mengejut skuad Gajah Perang ke atas Emirah Arab Bersatu (UAE) jelas membuktikan jentera serangan lawan cukup menyengat di depan gawang.

Untuk itu, beliau sudah 'memasang perangkap' untuk menjerat pemain lawan yang bakal menyerang dari segenap penjuru.

"Kita perlu tahu bagaimana hendak menghentikan mereka apatah lagi mereka dibarisi pemain hebat di bahagian serangan seperti Teerasil Dangda, Ekanit Panya, Chanathip Songkrasin dan Suphachok Sarachat..sudah semestinya mereka bermain dengan laju.

"Kita menekankan pendekatan untuk tidak mudah kehilangan bola dan cepat 'recover' sekiranya kehilangan bola. Kita mesti tingkatkan serangan lebih berkualiti kerana Thailand juga memiliki pertahanan yang baik," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, hari ini.

Tambah Cheng Hoe lagi, beliau berharap penyokong negara akan datang membanjiri stadium bagi menaikkan motivasi pemain di dalam padang.

"Bermain di Bukit Jalil menentang Thailand. Saya yakin pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk sahut cabaran ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 7:58 PM