PENG Soon, Liu Ying mara pusingan kedua Terbuka Hong Kong.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai tidak berdepan masalah melepasi halangan pertama Terbuka Hong Kong seterusnya mara ke pusingan kedua hari ini.

Peng Soon-Liu Ying yang diletakkan pilihan keenam tenang membenam cabaran wakil Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dengan straight set 21-16, 21-16.

"Kami bermain baik hari ini cuma diganggu tiupan angin menyebabkan kami ketinggalan di set kedua. Selepas 11 mata barulah kami kembali temui rentak.

"Saya rasa semua pemain kepenatan (selepas kejohanan berturut-turut). Sama juga pemain lawan. Sekarang siapa boleh bertahan mempunyai kelebihan. Bukan hanya dari fizikal tapi juga mental," kata Liu Ying.

Menanti mereka di pusingan kedua ialah wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet. Soon Huat-Shevon pula yang dipertaruhkan untuk beraksi cemerlang di Sukan SEA Filipina, mara ke pusingan kedua mengalahkan Robin Tabeling-Selena Piek dari Belanda 21-17, 21-8.

Mereka akan berdepan Kohei Gondo-Ayane Kurihara dari Jepun di pusingan kedua.

Sementara itu, satu lagi pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing ditunjukkan jalan keluar apabila kalah 19-21, 21-17, 19-21 di tangan wakil Russia, Rodion Alimov-Alina Davletova.

Pemain profesional perseorangan lelaki, Liew Daren pula mara ke undian utama selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut di pusingan kelayakan.

Selepas menumpaskan Yehezkiel Fritz Mainaky (Indonesia) 21-13, 21-8, Daren tidak berdepan masalah membenam cabaran pemain Taiwan, Lu Chia Hung 21-19, 21-17.

Menantinya di pusingan pertama ialah pemain dari Denmark, Rasmus Gemke.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 7:41 PM