Aksi pasangan beregu, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika dalam satu kejohanan baru-baru ini. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my


MARA sehingga ke separuh akhir Terbuka China sedikit sebanyak membantu beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas sebelum ini mempamerkan aksi kurang konsisten di kejohanan terdahulu.

Pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, beregu negara itu memperoleh semula keyakinan walaupun kelmarin terkandas di separuh akhir.

“Kemenangan ke atas pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (di suku akhir) mampu untuk memberikan mereka sesuatu dan ia lebih daripada kemenangan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Choong Hann mengakui bahawa Aaron-Wooi Yik harus dapat membuat kesimpulan di atas faktor-faktor kebangkitan mereka terutama ketika mengalahkan Ahsan-Setiawan.

“Mereka harus pegang dengan apa yang mereka raih setakat ini. Sudah tentu perasaan mereka juga sedikit berbeza. Bagaimanapun, saya mahu perkara ini terus berpanjangan.

“Bezanya aksi semalam (kelmarin) menyaksikan mereka tumpas kepada pasangan yang sentiasa bekerja keras. Dari situ kita nampak kelonggaran yang mereka ada,” kata bekas pemain perseorangan lelaki negara itu.

Aaron-Wooi Yik tumpas kepada Takeshi Kamura- Keigo Sonoda 13-21, 14-21 sekali gus menghalang hasrat mereka untuk layak ke final.

Dalam pada itu, Choong Hann juga berpuas hati dengan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang berjaya mara sehingga ke separuh akhir.

“Mereka mempamerkan permainan meyakinkan dan memperaga aksi konsisten. Saya gembira dengan peningkatan mereka,” katanya.

Soon Huat-Shevon terkandas di separuh akhir kelmarin selepas kalah kepada wakil China, Zheng Siwei-Huang Ya Qiong 16-21, 10-21.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 12:05 AM