AKSI Nor Hakim (kiri) berebut bola dengan pemain Pahang, Muslim Ahmad di Stadium Perak, Ipoh.
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


PEMAIN sayap Perak, Nor Hakim Hassan dan bek kiri Felda United, Arif Fadzillah Abu Bakar kini berada dalam radar skuad Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain kelahiran Terengganu itu tidak asing lagi dengan ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain kerana mereka pernah menyarung jersi kelab T-Team pada 2016 dan 2017 sebelum masing-masing membawa haluan dengan pasukan baharu.

Bakat Arif dikesan Nafuzi ketika beliau membawa pasukan Piala Presiden T-Team muncul naib juara pada 2016 sebelum pemain kelahiran Kampung Kubu, Marang itu menjadi pemain utama pasukan senior T-Team di bawah kendalian jurulatih kelahiran Indonesia, Rahmad Darmawan.

"Saya sentiasa membuka pintu untuk Nor Hakim dan Arif kembali berbakti dengan negeri kelahiran kerana pengalaman mereka dalam kancah liga tempatan sangat bernilai.

"Nor Hakim sudah buktikan dia antara pemain sayap terbaik negara selepas dua musim bersama Perak dan tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan TFC begitu juga Arif," ujar Nafuzi.

Bagaimanapun, Nafuzi menyatakan setakat ini belum ada pengesahan lagi sama ada dua pemain itu sudah menjadi milik skuad Penyu ataupun sebaliknya.

"Belum ada pengesahan lagi setakat ini, tapi kehadiran Nor Hakim dan Arif sangat dialu-alukan kerana mereka pemain berkualiti dan mampu membantu pasukan."

Sebelum ini posisi bek kiri menjadi antara tumpuan selepas TFC tidak menawarkan lanjutan kontrak kepada bekas tonggaknya, Adib Aizuddin Ab Latif dan Khairul Anwar Shahruddin selain pengguguran pemain sayap, Ahmad Syamim Yahya dan Nabil Ahmad Latpi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 10:00 PM