PASUKAN PST Kementerian Pendidikan Malaysia muncul juara keseluruhan Varsity Boat Race 2019 ke-14 di Kompleks Sukan Air Putrajaya. - FOTO Luqman Hakim Zubir
Samadi Ahmad
sukan@nstp.com.my


PASUKAN mendayung Pusat Sukan Tumpuan (PST) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjuarai kategori lelaki lapan berpasukan antarabangsa Varsity Boat Race 2019 Kali ke-14 yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya, hari ini.

Dalan pertandingan akhir, PST menumpaskan lima pasukan iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Ateneo De Manila University (ADMU) dan Universitas Singaperbangsa Kerawang (UNISKA).

Juara kategori wanita pula dimenangi pasukan Danang Sports University (DSU), Vietnam bagi kategori empat berpasukan.

PST turut meraih kejayaan berganda apabila dinobatkan juara keseluruhan pertandingan.

Pasukan PST diwakili tiga pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) selain lima pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan seorang pelajar Universiti Selangor (UNISEL).

Kesemua pemenang menerima sijil dan medal yang disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik) Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad.

Kemenangan itu kali empat diraih pasukan negara sejak 2014, 2016 dan 2018 sekali gus membuktikan negara mempunyai pasukan yang hebat dalam bidang sukan mendayung. Sementara itu, Kamel berkata, pertandingan itu akan dijadikan aktiviti tahunan dan bercadang menambah jumlah penyertaan kepada negara luar di masa depan.

Pertandingan bermula 5 November lalu disertai 36 pasukan yang dianjurkan secara kerjasama antara Kementerian Pendidikan, MASUM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Perbadanan Putrajaya (PPj), Persatuan Mendayung Malaysia (PEDAMA) dan Persatuan Kenu Malaysia (MASCA).

Selain kategori lelaki dan wanita universiti, pertandingan turut membabitkan Junior Antarabangsa Bawah 16 dan 19 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 9:37 PM