RAFAEL Gil Sanchez ketua jurulatih JDT II yang baharu.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai perancangan jelas dan jitu dalam membentuk pemain muda berkualiti pada masa hadapan apabila menandatangani Pengarah Akademi dan Pencari Bakat Malaga FC, Rafael Gil Sanchez sebagai ketua jurulatih JDT II yang baharu.

Pelantikan Rafael dilihat mampu membawa agenda dan pembangunan bakat muda lebih sistematik berdasarkan pengalaman diperoleh beliau sebelum ini.

Pengarah Teknikal JDT Alistair Edwards dalam kenyataan di Facebook Johor Southern Tiger memaklumkan, Rafael sebelum ini memikul pelbagai tugas di Sepanyol antaranya sebagai ketua jurulatih Akademi Malaga dan Bawah-23 tahun.

“Beliau juga berkhidmat sebagai pencari bakat RCD Espanyol di England dan penolong jurulatih untuk skuad kebangsaan Arab Saudi. Antara tugas utama Rafael membantu perkembangan pemain muda dalam pasukan dan bermain gaya sama dengan skuad senior, sekali gus membolehkan kelancaran peralihan ke skuad senior,” katanya, di sini.

JDT II akan menyaksikan kemasukan lebih ramai pemain muda pada 2020 berikutan keputusan kelab untuk melepaskan beberapa pemain dan mempromosikan pemain dari Akademi.

Sebelum itu, JDT II yang juga pasukan `reserve' kepada JDT untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal melakukan transformasi besar-besaran pada saingan Liga Perdana musim depan. Perkara itu didedahkan pemilik JDT Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui perkongsian di laman rasmi Johor Southern Tigers yang disiarkan secara langsung di platform media sosial kelab berkenaan, baru-baru ini.

Tunku Ismail berkata langkah untuk mentransformasi JDT II untuk memastikan perancangan besar yang bermula musim depan lebih tersusun terutama projek pembangunan akar umbi dan fasiliti kelab yang menjadi keutamaan. Beliau menambah antara perancangan utama JDT adalah melepaskan 16 pemain JDT II termasuk tiga jurulatih kelab berkenaan dan Ervin Boban yang membimbing pasukan itu untuk muncul juara Piala Cabaran musim ini sudah mengesahkan tidak lagi bersama kelab itu selepas kontraknya tidak disambung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 8:59 PM