MIKE (kiri) bersama jurulatih negara, Othman Yahya (tengah) dan Ahmad Faiz. - FOTO Othman
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


JAGUH bina badan, Syarul Azman Mahen Abdullah tepati ramalan apabila meraih gelaran Mr Universe keempat berturut-turut pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Pulau Jeju, Korea Selatan.

Mr Asia sebanyak lima kali berkenaan nyata tidak mengecewakan apabila dinobatkan sebagai juara selepas mengenepikan tiga pencabar lain di pentas final.

Atlet yang dikenali sebagai Mike, menewaskan lawan dari Vietnam yang meraih perak manakala Thailand berpuas hati dengan gangsa dalam kategori athletics physique 167cm.

"Saya gembira kerana sekali lagi berjaya mempertahankan kejuaraan. Bukan sesuatu yang mudah dapat melakukannya buat kali kali keempat berturut-turut.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu bagi mencapai kejayaan ini. Ia kejuaraan berganda selepas meraih gelaran kelima Mr Asia di Indonesia tempoh hari," katanya.

Bagaimanapun, harapan untuk menyaksikan atlet muda negara, Ahmad Faiz Ariffin terus mencipta kejutan selepas meraih Mr Asia di Indonesia pada September lalu tidak kesampaian.

Dia terpaksa akur meraih perak dengan peserta Thailand berjaya muncul juara dalam kategori athletics physique 175cm.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 7:52 PM