ANTARA pelumba kategori Promotional Class memulakan perlumbaan di Bandar Malaysia, Sungai Besi. - FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


JUARA musim pertama Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) dan Cabaran Perlumbaan Toyota Vios, Shawn Lee mengungguli acara perlumbaan pertama di Jalan Lapangan Terbang Lama, Bandar Malaysia di sini, hari ini. 

Pelumba yang bersaing bagi kelas Promotional (Selebriti) itu mengetepikan cabaran hebat pelakon, Syukri Yahaya di kedudukan kedua manakala tempat ketiga menjadi milik pelawak terkenal, Nabil Ahmad. 

Pada pusingan kedua musim ketiga festival itu, Shawn kekal mendominasi perlumbaan sehingga ke pusingan litar ke-20 dengan catatan masa 29:40 saat sekali gus menewaskan 10 pelumba selebriti lain. 

"Selain gembira kembali menaiki podium, saya mengakui teruja berlumba di litar baharu ini yang dianggap turut mencabar.  Saya berharap dapat kekal menjuarai acara itu pada perlumbaan kedua yang pasti lebih sengit esok," kata pemuzik Beatbox itu.  

Selebriti yang turut mengambil bahagian adalah Khai Bahar, Diana Danielle, Nabila Razali, Wany Hasrita, Janna Nick, Syafiq Kyle, Ain Edruce dan Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.  

Uniknya, siri perlumbaan festival itu julung kali diadakan di landasan kapal terbang yang juga bekas tapak Pangkalan Udara TUDM dengan membabitkan jarak keseluruhan litar sejauh 1.96 kilometer. 

Bagi acara kelas Sporting (Amatur), perlumbaan diungguli Tom Goh dari pasukan S&D Tama Motorsports manakala kedudukan kedua diraih Adam Khalid (Crestmax Motorsports) dan tempat ketiga menjadi milik Hayden Haikal (S&D Motorsports).  

Kelas Super Sporting (Profesional) pula disambar juara keseluruhan musim pertama, Tengku Djan Tengku Mahaleel dari pasukan 23 Motors, diikuti pelumba Laser Motor Racing, Mark Darwin di tempat kedua dan ketiga, Freddie Ang (Telagamas Toyota).  

Sementara itu, Akio berkata, pembinaan litar berkenaan mengambil masa selama tiga minggu untuk disiapkan pihaknya dengan mengambil kira semua faktor terutama keselamatan pelumba dan penonton.  

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 6:49 PM