WATFORD'S Nathaniel Chalobah meraikan kemenangan bersama Andre Gray selepas perlawanan. FOTO Reuters.
Reuters

WATFORD meraih kemenangan pertama Liga Perdana Inggeris mereka musim ini apabila jaringan Gerard Deulofeu dan pemain gantian Andre Gray memberikan mereka kemenangan 2-0 ke atas Norwich City dalam saingan pasukan tercorot awal pagi tadi.

Keputusan itu melonjakkan Watford dua anak tangga di kedudukan ke-18 dengan lapan mata daripada 12 perlawanan manakala pendatang baharu Norwich yang kali terakhir menang September lalu apabila mengejutkan juara bertahan Manchester City 3-2 di Carrow Road, menjunam ke dasar liga dengan tujuh mata.

Pengurus Watford Quique Sanchez Flores menyedari betapa gol awal amat penting dan memuji penyokong pasukan London itu yang sekian lama ‘menderita’ atas sokongan mereka.

“Anda menjaringkan gol awal dan pasukan menjadi lebih kuat dan padu,” katanya.

“Saya fikir pertama sekali bagi kami adalah ia sesuatu yang istimewa buat penyokong. Kami mahu mendedikasikannya kepada penyokong kerana mereka menyokong sejak sekian lama.

Penjaga gol Ben Foster menambah mengenai kemarau kejuaraan itu: “Sudah sekian lama, hampir enam bulan, ia tidak masuk akal. Ia terlalu lama hinggakan anda boleh katakan ia akan berlaku dan saya gembira ia terlaksana malam ini.”

Deulofeu meletakkan pasukan pelawat di depan seawal minit kedua apabila merampas bola daripada Emiliano Bouendia, berjaya memperdayakan pertahanan dan melakukan rembatan rendah melepasi Tim Krul.

Rembatan Gray, menggantikan Roberto Pereyra yang tercedera selepas setengah jam perlawanan, terhalang pada minit ke-33 sebelum Bouendia mengeluarkan bola jauh ke kawasan lawan.

Pemain Sepanyol Deulofeu kemudian mendapat peluang pada minit ke-52 apabila melakukan hantaran pada percubaan kedua sebelum Grey menolak dengan tumitnya melepasi Krul dari jarak dekat untuk menggandakan kelebihan Watford.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 8:57 AM