AKSI pemain negara (kanan) berebut bola dengan pemain Kepulauan Mariana Utara. - FOTO Agensi
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


KEPULAUAN Mariana Utara menjadi 'lauk' kedua buat skuad bawah 18 (B-18) tahun negara apabila anak didik Brad Maloney itu membelasah lawan 10-0 pada aksi ketiga kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19, di Stadium National Olimpik, Phnom Penh, di Kemboja, hari ini.

Ia kemenangan ketiga berturut-turut dalam Kumpulan G selepas berpesta gol 11-0 ke atas Brunei dan meraih kemenangan 5-4 bertemu Kemboja untuk kini mengumpul sembilan mata.

Berdasarkan kedudukan semasa, skuad muda negara kini dalam landasan tepat untuk menamatkan saingan selaku juara kumpulan sekali gus layak ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan.

Kenduri gol sudah dapat dijangkakan terutamanya selepas penguasaan awal anak buah Maloney yang menyaksikan mereka mendahului dua gol hanya selepas 10 minit perlawanan berlangsung menerusi Aiman Afif pada minit ketujuh dan Hazim Abu Zaid (m-9).

Berkelebihan dua gol, Malaysia terus memburu gol tambahan dan Aidil Azuan memberikan gol ketiga pada minit ke-20 sebelum Fahmi Daniel memastikan Malaysia menuju ke masa rehat dengan lebih selesa apabila menjaringkan gol keempat di penghujung babak pertama.

Memasuki babak kedua, Malaysia bagaikan dirasuk apabila Aiman meledak hatrik menerusi jaringan pada minit ke-46, 74 dan 79 untuk dia menghimpun empat gol pada perlawanan ini.

Sementara tiga lagi jaringan dihasilkan Fahmi (m-56), Firdaus Ramli (m-64) dan Azrul Haikal (m-66).

Untuk aksi terakhir menentang Thailand Ahad ini, skuad negara hanya perlu seri untuk muncul sebagai juara kumpulan. Berdasarkan format kejohanan, 11 juara dari setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak beraksi tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 12:02 AM