MARTIAL (kanan) menjaringkan gol kedua United di Old Trafford. — FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memuji penyerang Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood selepas mereka layak ke peringkat kalah mati Liga Europa dengan menundukkan Partizan Belgrade 3-0.

Pemain remaja Greenwood membuka tirai jaringan awal pagi tadi sebelum gol solo mengagumkan daripada Martial pada minit ke-33, kali pertama United menjaringkan dua gol pada babak pertama di Old Trafford musim ini.

Rembatan kencang Rashford empat minit selepas rehat memastikan kemenangan mereka dan menghalang sebarang kebangkitan Partizan.

“Saya amat gembira dengan semua penyudah itu, semua tiga gol bertaraf dunia,” kata Solskjaer.

“Mason mempamerkan ketenangan hebat... Anthony mungkin skil terbaik malam ini dan kemudian saya gembira Marcus meledak dengan kaki kiri. Dia perlukan lebih banyak gol menggunakan kaki kiri kerana dia selalu berada di posisi itu dan dia boleh memanfaatkan kedua-dua kakinya.

“Ini satu contoh bagaimana kami mahu bermain. Sudah tentu, lawan juga membenarkan anda bermain sebegitu.”

Satu-satunya berita negatif Solskjaer adalah kecederaan buku lali dialami pemain tengah Scott McTominay pada babak akhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 12:35 PM