SONIIA ketika latihan pasukan Badminton Negara di Akademi Badminton Malaysia, Bukit kiara. FOTO: Mohamad Shahril Badri Saali
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


HARAPAN untuk menyaksikan perseorangan wanita negara, Soniia Cheah meneruskan rentak cemerlang tidak kesampaian apabila kecundang dalam aksi dua set kepada lawan dari Kanada, Michelle Li.

Pada pertemuan pusingan kedua Terbuka China itu, Soniia yang turun dengan reputasi gah menumbangkan pilihan kedua dari Jepun, Akane Yamaguchi di pusingan pertama, gagal meneruskan perjuangan.

Michelle menang dengan keputusan 21-14, 21-10 dalam tempoh 35 minit sekali gus membuatkan pemain negara itu gagal menempah tiket ke suku akhir.

Perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang demam terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 3-11 pada set kedua kepada pilihan utama, Kento Momota dengan pemain dari Jepun itu turut memenangi set pertama 21-9.

Gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula menumbangkan pilihan kelima dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam aksi tiga set.

Tugas lebih berat menanti mereka apabila pasangan utama Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan yang juga pilihan kedua kejohanan menanti di suku akhir esok.

Turut melangkah ke suku akhir adalah beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta dua pasangan campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 9:01 PM