SUBAHAN
Oleh Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


‘SABOTAJ’ di saat akhir menggagalkan Datuk Kamarudin Meranun untuk bertanding jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), sekali gus menyaksikan Datuk Seri Subahan Kamal menang tanpa bertanding pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu, 16 November depan.

Timbalan Presiden Persatuan Hoki Johor, Datuk Majid Manjit Abdullah yang mewakili kem Kamarudin berkata, sepanjang pengetahuannya, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad itu sudah pun memenuhi syarat sekurang-kurangnya tiga pencalonan untuk bertanding kerusi presiden, sekali gus mencabar Subahan.

Bagaimanapun beliau difahamkan, pada saat akhir Persatuan Hoki Kedah menerusi presidennya, Mohd Asmirul Anuar Aris membuat pertukaran nama Kamarudin kepada Subahan.

“Saya dimaklumkan Mesyuarat Majlis Persatuan Hoki Kedah pada 30 Oktober sebulat suara bersetuju mencalonkan Kamarudin sebagai presiden dan borang pencalonan sudah dihantar pada 1 November.

“Bagaimanapun saya difahamkan ada pertukaran dilakukan oleh presidennya sebelum tarikh tutup (2 November),” katanya pada sidang media yang tidak dihadiri oleh Kamarudin, semalam.

Beliau mendakwa, Kamarudin sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk bertanding kerusi presiden.

Justeru, katanya, Kamarudin mengambil keputusan menarik diri meskipun jika AGM ditangguhkan kerana isu membabitkan Persatuan Hoki Kedah.

Malah Majid yang bertanding jawatan naib presiden turut mengumumkan menarik diri bersama kem Kamarudin yang lain.

Mereka ialah calon Timbalan Presiden (wanita), K Maheswari, sekali gus menyaksikan penyandang, Datuk Dr S Shamala menang tanpa bertanding serta tiga lagi calon naib presiden, Datuk Ow Soon Kooi, Datuk Che Khalib Mohamad Noh dan Lum Sau Foong.

Jelas Majid, beliau turut difahamkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah akan menyatakan pendirian untuk tidak bertanding jawatan timbalan presiden.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perundangan MHC, Jadadish Chandra ketika mengumumkan senarai calon yang layak bertanding berkata, Subahan mendapat 13 pencalonan, manakala Kamarudin hanya memperoleh dua pencalonan, sekali gus tidak layak untuk bertanding.

Ini kerana mengikut perlembagaan MHC, seseorang calon itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga pencalonan untuk bertanding jawatan presiden.

Kamarudin sebelum ini difahamkan memenuhi syarat memperoleh undi yang cukup untuk bertanding, namun Jadadish menegaskan badan induk itu hanya menerima dua pencalonan untuk Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad itu.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, tarikh akhir menghantar borang pencalonan adalah jam 3 petang 2 November. Secara asasnya Kamarudin hanya memperoleh dua pencalonan. Kami tidak mahu mempersoalkan keputusan di peringkat persatuan negeri dan ia adalah urusan pihak persatuan,” katanya.

Subahan, yang sebelum ini menyatakan mahu meletak jawatan jika Malaysia gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, menarik semula keputusan itu baru-baru ini bersama Shamala.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 6:30 AM