Tuan Mohd Asri (dua dari kanan) memberi penerangan kepada Superintendan Rudy (dua dari kiri) dan Ketua Polis Balai Dang Wangi Asisten Superintendan Mohd Maizuri Abdul Majid (tiga dari kiri) bersama kaki tangan IPD Dang Wangi.

PASUKAN Badminton Harian Metro bermula garang untuk mencatat dua kemenangan dalam acara beregu sebelum tewas 2-3 berdepan Pasukan Badminton Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur dalam aksi persahabatan semalam.

Beraksi di gelanggang Badminton The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Balai Berita, Bangsar pasukan Harian Metro memperoleh mata menerusi beregu lelaki pertama dan beregu campuran.

Sementara pelawat yang diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah memungut mata kemenangan menerusi beregu wanita dan dua beregu lelaki mereka.


Superintendan Rudy (tengah) bergambar bersama pemain IPD Dang Wangi dan Harian Metro. FOTO Aswadi Alias

Pasukan Harian Metro turut diwakili Pengarang Berita Kanan (Sukan), Abdul Manan Samad dan Pengarang Berita Kanan (Rencana), Ahmad Shahrul Nizam.

Terdahulu, Superintendan Rudy bersama anggotanya turut mengadakan lawatan dan meninjau suasana kerja pejabat Harian Metro kira-kira hampir sejam sambil diberi penerangan oleh Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein dan Pengarang Berita (Jenayah), Ahmad Saufi Mansor.

Program berkenaan adalah salah satu usaha menggalakkan aktiviti sukan selain mengeratkan hubungan silaturahim antara kedua-dua pihak.


Rudy (tengah) tunjuk bakat bermain badminton.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 9:39 PM