TCHETCHE pemain termahal TFC musim ini. — FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


BEKAS penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche hampir pasti menyarung jersi Kedah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Berita itu semakin bertiup kencang lebih-lebih lagi selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sah tidak menyambung kontrak dua penyerangnya, Jonatan Bauman dan Fernando Rodriguez.

Menurut sumber, pemain berusia 32 tahun kelahiran Ivory Coast itu sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan Kedah baru-baru ini dan hasilnya positif.

“Ya, pemain itu (Tchetche) kini hampir pasti menjadi milik pasukan Helang Merah, anda tunggu dan lihat pengumuman rasmi daripada persatuan itu (KFA),” ujar sumber berkenaan.

Penjaring kedua terbanyak Liga Super musim lalu itu sebelum ini mengejutkan kem TFC apabila bertindak menolak tawaran sambungan kontrak daripada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Difahamkan bekas penyerang kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman yang mula menyarung jersi TFC sejak pertengahan 2017 menolak tawaran PBSNT difahamkan berpunca daripada tawaran gaji yang kurang menarik.

Tchetche ketika diajukan mengenai perpindahannya ke pasukan lain enggan mengulas lebih lanjut sebaliknya lebih suka mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Saya tidak lagi bersama TFC tapi saya belum boleh maklum pasukan yang akan diwakili musim depan, nanti saya akan maklumkan kemudian selepas semuanya selesai,” ujar Tchetche.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 11:44 AM