Eain Yow tidak mahu beri laluan mudah di Doha. FOTO NSTP
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


PEMAIN skuasy kebangsaan, Ng Eain Yow berazam untuk memberi tentangan sengit ke atas pemain ranking lebih tinggi pada Kejohanan Skuasy Lelaki Dunia di Doha, Qatar, Jumaat ini. 

Bekas juara remaja dunia 2016 itu berdepan tugas getir apabila dijadualkan menentang pilihan ke-13, Fares Dessouky dari Mesir pada pusingan awal kejohanan berkenaan. 

Eain Yow yang menghuni ranking ke-37 dunia mengakui dirinya berada pada prestasi terbaik selepas menyertai beberapa kejohanan sejak September lalu. 

"Prestasi saya kini dilihat semakin baik dan meningkat berbanding sebelum ini yang tidak begitu konsisten. 

"Berdepan Fares yang juga pemain ranking ke-13 dunia memang sukar namun saya akan melakukan sebaik mungkin untuk menewaskannya," katanya kepada Arena Metro.  

Kata Eain Yow, dia akan menjalani latihan intensif di England bagi meningkatkan lagi prestasinya selepas berakhir kejohanan dunia itu. 

Tugas sukar turut digalas seorang lagi sandaran negara, Ivan Yuen yang bakal menentang pemain ranking ketujuh dunia, Diego Elias dari Peru.   

Kejohanan berprestij berlangsung di Doha sehingga 15 November itu menawarkan hadiah wang tunai US$335,000 (RM1.39 juta). 

Pada September lalu, Eain Yow meraih kejayaan terbesar dalam kariernya dengan menjuarai Terbuka Malaysia selain turut mara ke pusingan ketiga Terbuka Mesir, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 12:54 PM