PASUKAN polis unit berkuda mengawal di perkarangan stadium. FOTO Aswadi Alias
PENYOKONG Kedah di perkarangan stadium menjelang Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2019. FOTO Aswadi Alias
BOYS Of Straits (B.O.S), kelab penyokong JDT ketika hadir memberikan sokongan pada Pelawanan Akhir Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil .FOTO Mohd Yusni Ariffin
Firdaus Hashim & Syazwan Msar
sukan@hmetro.com.my


STADIUM Nasional, Bukit Jalil yang menjadi gelanggang final Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dilanda ‘ombak tsunami’ apabila lautan hijau kuning dan biru merah memenuhi setiap tempat duduk dalam stadium itu.

Walaupun pada jam 1 petang hujan turun dengan lebat ia langsung tidak membantutkan keghairahan penyokong kedua-dua pasukan yang cekal menunggu hingga pintu stadium dibuka pada jam 4 petang.

Stadium Nasional mula terbahagi kepada dua tona warna yang menyaksikan sebelah kanan stadium dibanjiri penyokong JDT yang mengenakan jersi berwarna merah biru sementara warna hijau kuning menghiasi pemandangan sebelah kiri stadium.


PENYOKONG Kedah di perkarangan stadium menjelang Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2019. FOTO Aswadi Alias

Kemunculan kumpulan penyokong setia JDT iaitu ‘Boys of Straits’ (BOS) yang mula memasuki stadium pada jam 7.30 malam terus menghangatkan suasana dengan mereka melaungkan nyanyian dan tepukan semangat yang turut disambut oleh penyokong Harimau Selatan.

Bagaimanapun, pertembungan ‘dua lautan’ yang membabitkan kira-kira 85,000 penonton itu tetap terkawal dan kualiti penyokong profesional berjaya ditunjukkan oleh kedua-dua penyokong yang dilihat boleh bergaul mesra tanpa timbul sebarang masalah.

Bukan itu sahaja, perang kain rentang juga menambah rencah aksi final yang menyaksikan puluhan kain rentang digantung oleh penyokong kedua-dua pasukan sebagai tanda sokongan kepada pasukan masing-masing.


PASUKAN polis unit berkuda mengawal di perkarangan stadium. FOTO Aswadi Alias

Antara kata-kata semangat pada kain rentang skuad Helang Merah seperti ‘Biar Jasa Jadi Kenangan, ‘Kedah Pantang Undur’ dan ‘Pulun Kedah Pulun’.

Bagi penyokong JDT pula, mereka menaikkan kain rentang ‘Luaskan Kuasa Mu’, ‘JDT Sampai Mati’ dan lain-lain.

Suasana bertambah gegak-gempita apabila pemain kedua-dua pasukan muncul di padang sebaik tiba di stadium bagi memberi penghormatan kepada penyokong masing-masing.

Sorakan dan nyanyian ‘Kedah, Kedah, Kedah’ serta ‘Johor, Johor, Johor’ menggegarkan suasana sekali gus menghangatkan lagi pertembungan dua seteru untuk memburu trofi kedua musim ini.

JDT muncul juara Liga Super musim ini sementara Kedah menjulang trofi Piala FA selepas menewaskan Perak 1-0 di gelanggang sama Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 8:04 PM
Skip this ad x