KHIDMAT Tchetche tidak diperlukan musim depan.
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


JODOH penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche bersama skuad akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) sah tidak menyambung kontrak pemain itu musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, keputusan itu dicapai bersama dan kini TFC sedang mengintai pemain lain bagi menggantikan penyerang itu.

"Sebelum ini kami buat tawaran kepada Tchetche ketika buat pelepasan pemain tetapi nampaknya pemain itu seperti sudah memiliki pasukan pilihan tersendiri.

"Saya jangkakan Tchetche tidak akan kekal bersama TFC musim depan," ujar Hishamudin.

Selain pemain kelahiran Ivory Coast itu, Hishamuddin turut memaklumkan pemain import skuad kebangsaan Kemboja, Thierry Chantha Bin juga digugurkan musim depan.

"Selain Tchetche, Chantha Bin juga tidak akan dikekalkan bersama TFC musim 2020," jelas Hishamuddin.

Tchetche yang bersama TFC bermula pertengahan musim 2017 adalah penjaring terbanyak Piala Malaysia musim lalu dengan meledak sembilan gol selain muncul penjaring kedua terbanyak Liga Super musim lalu dengan menghasilkan 14 gol.

Mengenai pemilihan tiga lagi pemain import bagi melengkapkan kuota lima pemain, Hishamuddin menyerahkan 100 peratus kepada barisan kejurulatihan untuk menilai pemain yang mampu memperkuatkan pasukan musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 11:56 AM