REAKSI Xhaka ketika dia keluar padang pada perlawanan menentang Crystal Palace. - FOTO Reuters
AFP

GRANIT Xhaka mendakwa ugutan bunuh ke atas keluarga menjadi punca tindak balas agresifnya ketika diejek penyokong Arsenal pada perlawanan menentang Crystal Palace hujung minggu lalu.

Xhaka hilang sabar di Stadium Emirates selepas dia dicerca penyokong ketika digantikan pada babak kedua dalam perlawanan berakhir 2-2.

Pemain tengah Arsenal itu menekupkan telinga, mengangkat tangan dengan marah dan menanggalkan baju ketika bergegas masuk ke dalam terowong.

Xhaka berdepan gesaan supaya dia dilucutkan gelaran kapten selepas pengurus Gunners, Unai Emery mengakui tindakan pemain Switzerland itu salah.

Tetapi pemain berusia 27 tahun itu yang turut diejek ketika menentang Aston Villa awal bulan ini mendedahkan dia mula hilang sabar selepas beberapa siri ugutan disasarkan terhadap dirinya dan keluarga menerusi media sosial.

"Penyokong tidak memahami perasaan saya dan banyak komen negatif dan ugutan ketika perlawanan dan media sosial sejak beberapa minggu lalu menyakitkan hati saya,” katanya dalam Instagram.

"Mereka berkata ‘Kami akan patahkan kaki kamu, ‘Bunuh isteri kamu’ dan ‘Harap anak kamu dapat kanser.’

"Itu semua menyakitkan dan melukakan hati saya dan kemuncaknya saya hilang sabar ketika penyokong mencerca saya pada Ahad lalu."

Xhaka tidak beraksi ketika tewas kepada Liverpool pada aksi pusingan keempat Piala Liga Rabu lalu dan dia tidak digemari ramai penyokong Arsenal susulan prestasi buruk sejak berpindah dari Borussia Monchengladbach pada 2016.

Kegagalannya menyekat hantaran yang membolehkan Palace menyamakan kedudukan menambahkan lagi kemarahan penyokong di Emirates.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 9:54 AM