ADVOCAAT berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan. - FOTO Reuters
Reuters

BEKAS jurulatih Belanda, Dick Advocaat bersetuju mengendalikan Feyenoord untuk baki saingan musim ini selepas peletakan jawatan Jaap Stam, menurut kenyataan kelab, awal pagi tadi.

Beliau yang berusia 72 tahun meneruskan tradisi membantu pasukan yang sedang bergelut.

"Jika saya dapat membantu kelab, saya berbesar hati melakukannya,” katanya dalam satu kenyataan. “Saya teruja kembali ke padang dan bekerjasama dengan pemain.”

Advocaat tampil tiga kali sebagai jurulatih kebangsaan Belanda dengan kali terakhir selama enam bulan pada 2017 sebelum diambil alih Ronald Koeman.

Beliau gagal menyelamatkan Sparta Rotterdam yang tersingkir daripada Eredivisie pada musim 2017-18 tetapi membantu Utrecht musim lalu dengan meraih slot Liga Europa selain turut menyelamatkan Sunderland daripada tersingkir daripada Liga Perdana pada 2015.

Advocaat juga pernah berkhidmat bersama Rangers, Borussia Moenchengladbach, Zenit St Petersburg dan Fenerbahce selain menjadi pengurus pasukan kebangsaan Belgium, Russia, Serbia, Korea Selatan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Advocaat bekerja di Feyenoord pada 2016 sebagai penasihat kepada jurulatih, Giovanni van Bronckhorst tetapi dijangka mengendalikan tugas sepenuhnya pada Ahad ini menentang VVV Venlo.

Feyenoord mengharungi kempen mengecewakan musim ini di bawah kendalian Stam dengan hanya menang tiga daripada 11 perlawanan dan terperosok di tangga ke-13 liga Belanda. Mereka juga di tangga tercorot Liga Europa selepas tewas kepada Rangers dan Young Boys.

Bekas pertahanan Manchester United, Stam hanya bertahan 120 hari mengendalikan tugas sebelum meletak jawatan pada Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 12:08 PM