PRESIDEN MHC, Datuk Seri Subahan Kamal. — FOTO Nurul Shafina Jemenon
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


KEPUTUSAN Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Dr S Shamala yang bertukar fikiran untuk mempertahankan jawatan masing-masing pada mesyuarat agung tahunan (AGM) 16 November ini tidak kira apa jua keputusan skuad negara pada kempen kelayakan Sukan Olimpik di London, mencetuskan rasa kurang senang beberapa pihak.

Bagi Timbalan Presiden Persatuan Hoki Johor, Datuk Manjit Majid Abdullah, tindakan Presiden dan Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) itu agak mengejutkannya.

“Sebelum ini memang kami ada mendengar khabar angin mereka berdua mahu terus bertanding.

“Tapi apabila mereka sah membuat keputusan semalam (kelmarin) ia sememangnya agak mengejutkan.

“Sebab kedua-duanya sebelum ini berulang kali menyatakan pendirian mahu berundur andai skuad negara gagal layak ke Sukan Olimpik,” katanya yang juga Naib Presiden MHC.

Sementara itu, bekas pemain negara, Rodhanizam Mat Radzi berpendapat ia satu perkembangan yang tidak sihat ketika skuad negara sedang fokus untuk bertemu Britain pada Sabtu dan Ahad ini.

“Pasukan negara sedang melakukan persiapan untuk kempen kelayakan dan di pihak MHC pula sibuk dengan isu pemilihan dan sebagainya.

“Sepatutnya ketika ini ruang diberikan sepenuhnya untuk skuad kebangsaan,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Subahan dan Shamala menyatakan pendirian untuk bertanding selepas mendapat sokongan ahli gabungan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 11:45 PM