REAKSI Xhaka selepas dicerca penyokong sendiri di Stadium Emirates. - FOTO Reuters
Reuters

JURULATIH Arsenal, Unai Emery berkata, Granit Xhaka perlu meminta maaf susulan konfrontasi dengan penyokong dan enggan mengesahkan sama ada pemain tengah Switzerland itu kekal menjadi kapten kelab.

Xhaka yang dikeluarkan ketika Arsenal seri 2-2 menentang Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana pada Ahad lalu dicerca penyokong sendiri di Stadium Emirates.

Kapten Arsenal itu jelas berang dengan menekupkan telinganya dan memaki penyokong sebelum menanggalkan jersi menuju ke terowong sambil diiringi jeritan penyokong.

"Ya (dia sepatutnya minta maaf). Kami membuat kesilapan, kami perlu minta maaf dan kami cadangkan dia berbuat demikian,” kata Emery kepada wartawan awal pagi tadi.

"Dia sekarang sangat kecewa dan bersedih. Kami bercakap dengannya semalam dan juga pada malam Ahad lalu. Tidak mudah baginya dan pasukan.

"Kami perlukan keluarga, rakan dan penyokong untuk menyokong dan menyayangi kami. Dia tidak memilikinya bersama penyokong. Tetapi kami minta dia bertenang. Terus rapat dengan keluarga dan bersama kami kerana kami adalah keluarga dia juga.”

Emery turut mengesahkan Xhaka tidak akan bersama skuad Arsenal yang akan ke Liverpool dalam aksi Piala Liga esok tetapi pengurus Sepanyol itu berkata dia selalu membuat rombakan dalam sesuatu kejohanan.

Ketika ditanya sama ada keputusan mengenai masa depan Xhaka sebagai kapten Arsenal telah dibuat, Emery berkata: “Buat masa ini saya tak akan memperkatakannya dan saya belum lagi mahu memikirkannya.”

Perancang Jerman, Mesut Ozil tersenarai dalam pasukan walaupun tersisih setiap perlawanan sejak Arsenal menang pusingan ketiga Piala Liga ke atas Nottingham Forest pada 24 September lalu.

"Ya dia berpeluang untuk beraksi,” kata Emery. “Kami berbincang dengan positif pagi tadi, Mesut dan saya. Dia tahu apa yang saya mahukan daripadanya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 12:00 PM