GAYA Martinez (kiri) meraikan jaringan di Stadium Mario-Rigamonti, Brescia. - FOTO AFP
AFP

INTER Milan kembali melonjak ke tangga teratas Serie A selepas menang 2-1 ke atas Brescia dalam perlawanan menyaksikan Mario Balotelli kerap mengancam kubu bekas kelabnya, awal pagi tadi.

Lautaro Martinez dan Romelu Lukaku menjaringkan gol pada kedua-dua babak bagi membolehkan skuad Antonio Conte melonjak mengatasi juara bertahan, Juventus.

Jaringan sendiri Milan Skriniar pada minit ke-76 menyuntik semangat Brescia tetapi pasukan tuan rumah itu kekal di tangga ke-18 dan tanpa kemenangan sejak 21 September lalu.

Conte melakukan dua pertukaran ke atas skuad yang seri 2-2 ketika menentang Parma pada Ahad lalu dengan pemain antarabangsa Belanda, Stefan de Vrij mengetuai barisan pertahanan.

Pengurus Brescia, Eugenio Corini makin tertekan susulan prestasi buruk pasukannya membawa masuk empat muka baharu selepas tewas di Genoa Ahad lalu yang menyaksikan Alfredo Donnarumma bergandingan dengan Balotelli di bahagian serangan manakala penjaga gol berusia 31 tahun, Enrico Alfonso tampil kali pertama dalam aksi Serie A.

Pelawat mendahului pada minit ke-23 apabila tandukan De Vrij yang berebut bola dengan Balotelli singgah di kaki Martinez dan pantas meledak rembatan terkena kaki pertahanan, Andrea Cistana yang gagal diselamatkan Alfonso.

Balotelli mengancam kubu Inter tiga minit sebelum rehat namun rembatan rendah di luar kotak penalti berjaya diselamatkan kapten, Samir Handanovic.

Brescia terus meningkatkan asakan pada babak kedua namun Inter yang berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-63 menerusi Lukaku yang menjaringkan gol ketujuhnya daripada 10 perlawanan musim ini.

Penyerang Belgium itu yang menyertai Inter dari Manchester United pada Ogos lalu menerima bola dari sebelah kanan dan meledak rembatan lencung menggunakan kaki kiri menewaskan Alfonso.

Balotelli terlepas peluang terbaik menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki kurang 20 minit apabila tandukannya dari jarak dekat gagal ditampan kemas Handanovic namun rembatan susulan melepasi palang gol.

Usaha gigih Brescia akhirnya berhasil apabila percubaan Dimitri Bisoli terkena Skriniar pada minit ke-76 untuk kedudukan 2-1 namun Inter cekal bertahan dan keputusan kekal memihak pelawat sehingga tamat perlawanan.

Dalam perlawanan awal, jaringan Darko Lazovic memberikan kemenangan ketiga Verona musim ini dengan menewaskan Parma 1-0. Juve pula mampu merampas kembali takhta Serie A jika menewaskan Genoa awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 8:42 AM