SEPAKAN percuma Messi yang menghasilkan gol ketiga Barca di Camp Nou. - FOTO EPA
Reuters

KAPTEN Barcelona, Lionel Messi menjaringkan dua gol dan menjadi ‘arkitek’ kepada dua lagi jaringan ketika membantu pasukan membelasah Real Valladolid 5-1 untuk melonjak ke tangga teratas La Liga, awal pagi tadi.

Skuad Ernesto Valverde berpesta gol di Camp Nou, veneu yang sepatutnya menjadi pertarungan Clasico menentang Real Madrid pada Sabtu lalu namun ditunda ke Disember depan akibat ketegangan politik.

Messi yang sukar dikekang bijak menghantar bola kepada Arturo Vidal dan pemain Chile itu tangkas memanfaatkan peluang untuk meletakkan tuan rumah di depan 2-1 selepas jaringan pembukaan Clement Lenglet tidak bertahan lama apabila disamakan Kiko Olivas untuk pelawat.

Messi kemudiannya menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan percuma menarik dan menjaringkan satu lagi gol sebelum membantu Luis Suarez melengkapkan kemenangan gemilang bagi melonjakkan Barca ke takhta liga dengan 22 mata daripada 10 perlawanan.

MESSI diraikan rakan sepasukan. FOTO Reuters

"Leo menunjukkan semua kualiti dimilikinya, apabila dia seperti itu pasukan dapat nikmati hasilnya,” kata Vidal.

"Kami melihat dia setiap hari dan dan dia mengejutkan kami setiap hari. Dengan kualiti dimilikinya, Messi seperti dari planet lain. Tiada perkataan untuk saya perkatakan mengenai Leo. Dia dari dunia lain. Semua dilakukan disudahi dengan baik.”

Barcelona mendahului hanya selepas dua minit perlawanan bermula apabila bola rembatan Lenglet terkena pertahanan lawan sebelum terkena palang dengan penjaga Valladolid, Jordi Masip hanya mampu memerhatikan bola jatuh melepasi garisan gol.

Olivas menyamakan kedudukan pada minit ke-15 apabila penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen gagal menampan kemas bola sepakan percuma yang terkena kaki pemain lawan dan menerjah jaring.

Bagaimanapun, Messi memastikan penguasaan Barcelona selepas itu bermula dengan hantaran cantik kepada Vidal sebelum bintang Argentina itu menjaringkan gol keempat daripada empat perlawanan dalam semua kejohanan sekali gus koleksi ke-100 di bawah kendalian jurulatih, Valverde.

Pemain berjersi nombor 10 itu kemudiannya melorongkan bola kepada Ansu Fati yang menyaksikan rembatan pemain berusia 16 tahun diselamatkan Masip.

Suarez tidak bernasib baik apabila jaringannya dibatalkan akibat offsaid sebelum Messi meledak sekali lagi pada minit ke-75 menerusi rembatan kencang di luar kotak penalti.

Dia kemudiannya bergandingan dengan Suarez bagi membolehkan bintang Uruguay itu merembat gol kelima dari jarak dekat.

"Mereka sangat baik dan tidak membenarkan kami bergerak lancar,” kata kapten Valladolid, Michel. "Anda hanya perlu hargai Messi dan nikmati aksinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 7:26 AM