Sivasangari (belakang) gagal bersaing dengan pemain Mesir. FOTO Ihsan squashsite.com
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


HASRAT jaguh skuasy wanita negara, S Sivasangari untuk mara ke suku akhir terbantut apabila tewas kepada pemain ke-11 dunia dalam saingan Kejohanan Wanita Dunia di Mesir, awal pagi ini.

Pada aksi pusingan ketiga di Kaherah, juara kebangsaan dari Kedah itu bagaimanapun tidak memberi laluan mudah kepada pemain tuan rumah, Hania El Hammamy.

Sivasangari memberi tentangan sengit hingga beraksi empat set sebelum tumpas kepada pemain pilihan ke-14 itu 8-11, 12-10, 8-11, 9-11 dalam pertarungan selama 53 minit.

“Saya kini merasakan prestasi semakin meningkat sejak menyertai Terbuka Amerika Syarikat dua minggu lalu.

“Dalam dua kejohanan ini, saya bermain pada tahap terbaik untuk memberi saingan dan menewaskan beberapa pemain yang menduduki ranking lebih tinggi," katanya kepada Arena Metro.

Pemain ranking ke-48 dunia itu berkata, dia mengakui masih perlu memperbaiki corak permainan terutama mengelak kesilapan pada saat genting untuk memperoleh mata.

Khamis minggu lalu, Sivasangari membuka tirai dengan aksi cemerlang apabila melakar kejutan ke atas pemain kelapan dunia, Amanda Sobhy dari Amerika Syarikat dalam pertarungan lima set.

Juara Terbuka Australia itu kemudian turut menundukkan seteru zaman remajanya yang juga pemain ranking ke-29 dunia, Milou Van Der Heijden dari Belanda.

Kejohanan berprestij yang berlangsung di Cairo sehingga Jumaat ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$430,000 (RM1.79 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 11:18 AM