REAKSI Xhaka selepas digantikan ketika menentang Crystal Palace awal pagi tadi. FOTO Reuters
AFP

HECTOR Bellerin meminta semua orang di Arsenal untuk bersatu susulan amukan kapten kelab Granit Xhaka selepas digantikan ketika seri 2-2 dengan Crystal Palace awal pagi tadi.

Bellerin, yang juga kapten ketiga Gunners selepas Xhaka dan Pierre-Emerick Aubameyang, diketepikan akibat kecederaan tetapi menggesa pasukan menerusi Twitter untuk memahami situasi dan bersatu.

Pengurus Unai Emery berkata beliau akan berbincang dengan Xhaka sebelum memutuskan sama ada untuk menarik jawatan itu daripada pemain tengah Switzerland.

Pemain berusia 27 tahun itu yang menjadi kapten pada musim rehat selepas menerima undian rahsia daripada pemain, naik angin apabila dia digantikan pada separuh masa kedua perlawanan menentang Palace.

Dia melangkah perlahan ke garisan tepi dan menunjukkan wajah masam kepada penyokong yang bersorak apabila dia digantikan dan kemudiannya menggesa dia meninggalkan padang dengan cepat.

Amukan Xhaka memuncak apabila dia mengoyakkan jersinya, dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong dan meluru meninggalkan Emery ke dalam terowong, mencetuskan lebih banyak sorakan daripada penyokong.

“Kita semua manusia, kita semua mempunyai perasaan dan ada kalanya sukar untuk berdepan dengannya,” kata Bellerin menerusi Twitter.

“Ini masanya menyokong satu sama lain, bukan mendesak satu sama lain. Kami hanya akan menang apabila bersama-sama.”

Namun ada yang kurang bersimpati seperti legenda Arsenal Ian Wright terutama dengan kelab bergelut memburu prestasi dengan dua kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.

“Dia seorang kapten. Dia mempunyai tanggungjawab untuk menerimanya kerana dia dipilih. Anda tidak boleh buat seperti itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 11:14 PM