Pemain Arsenal, Granit Xhaka dikeluarkan dan bersalaman dengan pengurus Unai Emery. FOTO Reuters
AFP

UNAI Emery enggan mengesahkan jika Granit Xhaka akan dikekalkan sebagai kapten Arsenal selepas pengendali itu mengakui pemain Switzerland berkenaan tersilap langkah apabila melayan provokasi penyokong Gunners ketika keputusan seri 2-2 menentang Crystal Palace.

Skuad kendalian Emery mensia-siakan kelebihan dua gol di Stadium Emirates, London awal pagi ini sebelum ejekan terhadap Xhaka menambahkan lagi ketegangan dalam kelab itu.

Apabila Xhaka digantikan dengan Bukayo Saka di babak kedua, pemain tengah itu keluar padang sambil bertindak balas dengan penyokong yang bersorak dan menggesanya keluar segera.

Xhaka akhirnya hilang sabar dan mengoyak bajunya sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penyokong sebelum dia melintasi Emery dan masuk ke dalam terowong.


Granit Xhaka (kanan) menghalang pemain Crystal Palace, Wilfried Zaha pada aksi Liga Perdana awal pagi ini. FOTO Reuters

Melihat tindakan kapten pasukannya seakan kebudak-budakan, Emery menyifatkan Xhaka bertindak di luar batasan.

“Dia silap. Saya cuba untuk bertenang, tetapi dia silap dalam tindakannya.” kata Emery.

“Kami sedang berusaha dengan pemain-pemain untuk bermain di bawah tekanan. Dalam situasi sukar anda boleh menjadi marah. Anda perlu bijak. Kita bermain untuk penyokong. Kita perlu menghormati mereka apabila mereka menyokong atau mengkritik kita.”

Xhaka dilantik sebagai kapten sebelum permulaan musim, sudahpun tidak digemari beberapa penyokong Arsenal selepas aksi mengecewakan sejak perpindahan dari Borussia Moenchengladbach pada 2016.

Pemain berusia 27 tahun itu turut didesak penyokong Arsenal menerusi media sosial untuk tidak memakai lilitan kapten itu dan Amery berkata dia akan bercakap dengan pemain dan pasukan sebelum mengambil keputusan sama ada untuk mengekalkan tugas Xhaka atau sebaliknya.

Selepas gagal layak ke Liga Juara-Juara musim lalu, Emery berada dalam keadaan tertekan untuk memburu kelompok empat teratas liga musim ini.

Arsenal di kedudukan kelima dalam liga ketika ini, pasukan itu diejek sebaik tamat perlawanan dan penyokong melaungkan nama Mesut Ozil yang tidak menjadi pilihan Emery.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 12:05 PM