KETUA Jurulatih Selangor, B Sathianathan. FOTO Sairien Nafis
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


PENGENDALI Selangor, B Sathianathan mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah pasukan yang lebih baik pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia apabila anak buahnya terpaksa menggigit jari tumbang 0-3 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Jelas bekas jurulatih Harimau Malaya itu, walaupun skuad kendaliannya cuba bangkit untuk memadam kelebihan JDT yang membawa bekalan 2-1 dari aksi pertama di Larkin sebelum ini, pelawat nyata berada di kelas tersendiri untuk menamatkan saingan dengan agregat 5-1.

Katanya, skuad bimbingannya tidak menampilkan aksi terbaik dengan penyerang kebangsaan, Safawi Rasid muncul duri dalam daging apabila meledak hatrik untuk mengecewakan Selangor sekaligus terus kempunan memburu kejuaraan Piala Malaysia ke-34.

“Kita tidak menampilkan persembahan terbaik. JDT menampilkan permainan yang mantap dan jaringan yang diperoleh mereka memberikan tekanan terhadap pemain.

“Selain itu, kita dapat lihat perbezaan pemain antara kedua-dua pasukan. Pemain mereka menunjukkan persefahaman yang sangat baik. Kami mempunyai peluang terutamanya pada separuh masa kedua namun gagal memanfaatkannya dengan baik.

“Di sini, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Tambah Sathianathan lagi, pemainnya perlu memperbaiki prestasi serta tahap kecergasan bagi memastikan pasukan menampilkan prestasi cemerlang musim hadapan.

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas prestasi yang ditampilkan oleh pemain pada perlawanan ini. Sukar untuk kita kerana pemain tidak konsisten dengan prestasi mereka.

“Sesetengah pemain perlu meningkatkan tahap kecergasan mereka untuk beraksi pada perlawanan berintensiti tinggi. Perkara ini bagi memastikan kesilapan dapat dikurangkan pada musim hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 7:16 PM