Sivasangari (kiri) beraksi cemerlang mengatasi pemain Belanda. FOTO squashsite.com
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


JAGUH skuasy wanita negara, S Sivasangari meneruskan rentak kecemerlangan apabila mara menyertai kelompok 16 terbaik di Kejohanan Wanita Dunia.

Pada aksi pusingan kedua di Mesir malam tadi, juara kebangsaan dari Kedah itu menundukkan pemain ranking ke-29 dunia, Milou Van Der Heijden dari Belanda. 

Sivasangari yang menghuni ranking ke-48 dunia bagaimanapun terpaksa bermandi peluh apabila diberi tentangan sengit pilihan ke-30 itu sebelum menang 11-4, 6-11, 12-10, 11-9 dalam masa 40 minit. 

"Milou seorang pemain yang bagus dan saya perlu mengutip mata demi mata. Ia lebih kepada permainan mental berbanding fizikal.

"Selain gembira dengan prestasi sedia ada, saya mahu kekal fokus dan cuba melakukan sebaik mungkin dalam setiap kejohanan," katanya. 

Pada pusingan ketiga esok, pemain berusia 20 tahun itu akan menentang jaguh tuan rumah, Hania El Hammamy yang mara selepas menewaskan pemain Australia, Donna Lobban 11-6, 11-8, 11-9. 

"Hania memang antara seteru saya dan kami pernah bersaing beberapa kali sejak zaman remaja.

"Saya amat teruja dan berharap kami dapat mempamerkan aksi terbaik sehingga tamat perlawanan," katanya.

Khamis lalu, Sivasangari membuka tirai dengan aksi cemerlang apabila melakar kejutan ke atas pemain kelapan dunia, Amanda Sobhy dari Amerika Syarikat dalam pertarungan lima set 9-11, 11-9, 6-11, 12-10, 11-6.

Kejohanan berprestij yang berlangsung di Cairo sehingga Jumaat ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$430,000 (RM1.79 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 12:01 PM