Penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku (kanan) menjaringkan gol ketika berdepan Parma dalam aksi Serie A Itali di Milan pagi ini. FOTO AFP
Reuters

INTER Milan terlepas peluang merampas kedudukan teratas Serie A Itali daripada Juventus selepas hanya seri 2-2 menentang Parma dalam perlawanan sengit di San Siro, Milan, awal pagi ini.

Jaringan pembukaan Antonio Candreva dinafikan dengan gol penyamaan dari bekas penyerang Inter, Yann Karamoh dan jaringan Gervinho memberi kejutan kepada pelawat untuk mendahului pada separuh masa pertama.

Barisan kendalian Antonio Conte bangkit semula menerusi jaringan Romelu Lukaku selepas waktu rehat namun ia belum cukup untuk memanfaatkan peluang selepas Juve tercicir mata.

Juara bertahan, Juventus sekadar seri 1-1 berdepan Lecce semalam namun masih mendahului liga dengan 23 mata, satu mata mengatasi Inter di tempat kedua.


Pemain Parma, Yann Karamoh (dua kanan) meraikan jaringannya berdepan Inter Milan pada aksi Serie A Itali. FOTO EPA

“Kami beraksi teruk pada separuh masa pertama,” kata Candreva kepada InterTV. “Kami tampil lebih baik selepas waktu rehat, tetapi kami kesal kerana tidak dapat mencatat kemenangan. Kami sangat menyesal dan berang dengan bagaimana ia berlaku.”

Inter mendahului ketika pertengahan masa perlawanan separuh masa pertama selepas Candreva bijak memanfaatkan peluang menjaringkan gol untuk menewaskan Luigi Sepe di gawang gol Parma.

Lawan pantas bertindak balas dengan dua gol dalam masa empat minit ketika Karamoh, yang meninggalkan Inter untuk menyertai Parma pada musim lalu, memastikan gol penyamaan selepas berjaya melepasi jangkaan penjaga gol Samir Handanovic sebelum membantu menghasilkan jaringan kepada Gervinho untuk memastikan jaringan selepas serangan balas pantas.

Barisan kendalian Conte menyamakan kedudukan pada awal babak kedua dalam keadaan pelik ketika Lukaku merembat masuk gol kedua selepas menerima hantaran Candreva yang dikatakan ofsaid sehingga tayang Video Bantuan Pengadil (VAR) mengubah keputusan itu.

Jaringan itu menyaksikan pemain antarabangsa Belgium berkenaan menjadi pemain pertama Inter sejak Diego Milito pada 2009 yang menjaringkan enam gol terbanyak dalam sembilan perlawanan pertama liga buat kelab itu.

Inter hampir mencatat kemenangan lewat ketika tandukan Stefan de Vrij tersasar di tepi sudut dan rembatan pemain gantian, Sebastiano Esposito gagal menemui jaringan.

“Memang kesal kerana kami gagal mempertahankan kedudukan ketika mendahului namun dari sudut lain kami memikirkan berapa ramai pemain yang mengalami kecederaan dan pasukan lawan memberi tentangan sengit, kami berpuashati untuk mendapatkan satu mata dalam perlawanan di gelanggang ini.” kata jurulatih Parma Roberto D'Aversa kepada Sky Italia.

“Pemain memberikan segalanya untuk 97 minit dan bangga mengenakan jersi.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 9:54 AM