REAKSI Martial (tengah) selepas menjaringkan gol ketika menentang Partizan di Belgrade. - FOTO EPA
Agensi

OLE Gunnar Solskjaer berharap Manchester United dapat memulihkan prestasi selepas Anthony Martial kembali cergas dan meledak jaringan.

Martial tersisih hampir dua bulan akibat kecederaan paha sebelum kembali di bangku simpanan ketika seri dengan Liverpool minggu lalu.

Bagaimanapun, penyerang Perancis itu meledak gol kemenangan ketika United menewaskan Partizan Belgrade dalam aksi Liga Europa, semalam.

Kemenangan di tempat lawan itu yang pertama buat United dalam 12 percubaan selepas kemerosotan prestasi menyaksikan mereka kini di tangga 14 dalam carta liga menjelang kunjungan ke Norwich City awal pagi Isnin.

Tetapi Solskjaer percaya kehadiran semula Martial mampu mengubah nasib United selepas dia membarisi kesebelasan utama di Serbia.

"Kami tidak mencipta banyak peluang dan gagal menjaringkan banyak gol yang diharapkan,” kata Solskjaer.

"Sekarang, Anthony sudah kembali dan dia berjaya menjaringkan gol dan saya yakin prestasi akan meningkat dengan adanya Anthony. Dia memberikan kami perbezaan.

Katanya lagi: "Saya harap dapat mengatasi Norwich kerana selalunya sukar beraksi di Carrow Road tetapi kami sudah sedia. Saya dapat menurunkan beberapa pemain yang sebelum ini tidak dapat beraksi.

"Saya keluarkan Aaron [Wan-Bissaka] dan Anthony selepas 60 minit kerana mereka tidak beraksi dalam tempoh agak lama. Harapnya, kami dapat skuad yang segar untuk mencerahkan peluang malam esok."

United masih ketiadaan beberapa tonggak termasuk Paul Pogba yang tersisih untuk aksi menentang Norwich.

"Kami bekerja keras memulihkan kembali kecergasan mereka. Saya tidak akan meletakkan jangka masa mereka akan kembali beraksi tetapi berharap ia tidak lama.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 11:31 AM