OLE Gunnar Solskjaer
Reuters

NORWICH City adalah pasukan berani yang mempamerkan gaya bola sepak yang mampu mendatangkan masalah buat lawan lebih kuat dan Manchester United mungkin berdepan misi getir untuk mendapatkan keputusan terbaik di Carrow Road pada awal pagi Isnin, kata pengurus kelab Old Trafford, Ole Gunnar Solskjaer.

Norwich, pendatang baharu liga menduduki tangga ke-19 tetapi skuad kendalian Daniel Farke berjaya mencatat keputusan menarik sebaik kembali ke liga utama, termasuk kemenangan ke atas juara bertahan Manchester City di laman sendiri bulan lalu.

“Saya harap kami dapat menghalang mereka kerana sentiasa sukar apabila bertandang di Carrow Road,” kata Solskjaer, yang pasukannya meraih kemenangan pertama di tempat lawan ke atas Partizan Belgrade di Liga Europa awal pagi tad.

“Apabila saya melihat aksi pertama mereka (Liga Perdana Inggeris) menentang Liverpool, saya melihat sebuah pasukan yang penuh dengan keberanian.

“Mereka berani, bermain dengan gaya tersendiri dan terus bermain.

“Ia memberikan mereka keputusan yang baik. Mereka menewaskan Newcastle, mereka menewaskan Manchester City... Mereka adalah pasukan yang mempunyai falsafah yang jelas.”

Solksjaer berkata beliau gembira penyerangnya Anthony Martial kembali daripada kecederaan dan menjaringkan gol kemenangan di Belgrade.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 8:25 PM