REAKSI Lampard selepas menang 1-0 di Amsterdam. — FOTO Reuters
AFP

PENGURUS Chelsea, Frank Lampard menganggap kejayaan pasukannya mengatasi Ajax 1-0 pada aksi Liga Juara-Juara di Amsterdam sebagai kemenangan terbaiknya setakat ini mengendalikan Blues.

Lampard tepat dengan pilihannya menggantikan pemain di Arena Johan Cruyff apabila Christian Pulisic mengumpan kepada Michy Batshuayi untuk menjaringkan gol kemenangan empat minit sebelum tamat.

Selepas permulaan sukar musim sulungnya mengendalikan pasukan di Stamford Bridge, Lampard kini mengemudi enam kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.

“Benar ia kemenangan terbaik,” kata bekas pemain tengah England itu kepada BT Sport. “Saya terlalu gembira, saya sedar betapa sukarnya perlawanan ini.

“Untuk bermain dan mengalahkan mereka bermakna kami cemerlang di segenap penjuru padang. Saya terlalu bangga dengan persembahan pemain.”

Kemenangan di Amsterdam meletakkan Chelsea di puncak Kumpulan H, sama mata dengan Ajax sekali gus mencerahkan semula peluang mereka layak ke pusingan 16 terakhir selepas kalah kepada Valencia di laman sendiri pada hari pembukaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 12:30 PM