MESSI (tengah) meraikan jaringan bersama Gerard Pique (kiri) dan Jordi Alba di Arena Eden, Prague. — FOTO Reuters
AFP

LIONEL Messi meraih satu lagi rekod jaringan ketika membantu Barcelona mengatasi Slavia Prague 2-1 awal pagi tadi untuk kekal di tangga teratas Kumpulan F Liga Juara-Juara.

Messi membuka tirai jaringan selepas tiga minit, mengatasi penjaga gol Slavia, Ondrej Kolar dengan rembatan leret kaki kiri untuk muncul pemain pertama menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol dalam 15 perlawanan Liga Juara-Juara berturut-turut.

Bintang Argentina berusia 32 tahun itu mulanya merampas bola daripada pemain tengah Petr Sevcik di luar kotak penalti Slavia sebelum bertukar hantaran dengan Arthur membolehkannya merobek benteng tuan rumah.

Barca meraih gol kedua pada minit ke-57 apabila pemain sayap Slavia, Peter Olayinka tertampan masuk percubaan jarak dekat Luis Suarez dari sudut mustahil ketika tuan rumah gagal menangani sepakan percuma Messi.

Olayinka memastikan kemenangan keenam berturut-turut Barca pada perlawanan kompetitif namun menafikan Suarez gol yang mampu menamatkan kemarau empat tahun pada aksi di gelanggang lawan bagi pertandingan Eropah.


OLAYINKA (kiri) kelihatan kecewa apabila menjaringkan gol sendiri. — FOTO Reuters

Terdahulu, pertahanan kiri Jan Boril menyamakan kedudukan buat Slavia lima minit selepas rehat, menyempurnakan hantaran mengagumkan Lukas Masopust yang menyaksikan dia berdepan satu sama satu dengan penjaga gol Marc Andre ter Stegen.

Barcelona mengungguli Kumpulan F dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan dan tiga mata di depan Inter Milan yang menewaskan Borussia Dortmund 2-0. Slavia di tangga tercorot dengan satu mata.

“Keputusan ini patut lebih bagus lagi, tapi Slavia mengambil risiko, mereka bermain amat bagus dan membuatkan kami terpaksa kerap bertahan,” kata jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde.

“Kami bermula dengan amat bagus, kami mendominasi perlawanan, tapi kami juga hilang bola beberapa kali dan mereka mengancam – mereka benar-benar menyukarkan kami kerana apabila mereka bergelut, mereka menguatkan serangan dan itulah yang mereka lakukan hari ini.

“Kami berada di tangga teratas dan kami bermain dua perlawanan berikutnya di laman sendiri.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 9:59 AM