BATSHUAYI (kanan) merembat gol kemenangan di Arena Johan Cruijff. — FOTO AFP
Reuters

JARINGAN lewat pemain gantian Michy Batshuayi membantu Chelsea menang 1-0 ke atas Ajax Amsterdam awal pagi tadi bagi kemenangan kedua dalam Kumpulan H Liga Juara-Juara pada perlawanan penuh menarik di Arena Johan Cruijff.

Keputusan pengurus Frank Lampard memasukkannya pada lewat aksi berbaloi apabila Batshuayi menyudahkan hantaran seorang lagi pemain gantian Christian Pulisic bagi gol tunggal pada minit ke-86.

Chelsea dan Ajax kini mengumpul enam mata selepas separuh saingan peringkat kumpulan.

Kemasukan Pulisic menambah tenaga di jentera serangan Chelsea dan Batshuayi menyudahkan hantaran silang dari sebelah kiri dengan tampanan padu sesudah terlepas apa yang dilihat peluang terbuka beberapa minit terdahulu.

“Itulah yang anda mahukan daripada pemain gantian anda, bagi mereka untuk kekal positif dan masuk serta melakukan apa yang mereka lakukan malam ini,” kata Lampard kepada wartawan.


BATSHUAYI (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. — FOTO Reuters

Dua pasukan muda itu menghasilkan rentak pantas namun tidak banyak peluang baik pada perlawanan yang mana benteng pertahanan secara amnya mudah menangani asakan lawan.

Ajax berjaya menembusi gawang Chelsea selepas 35 minit namun VAR memutuskan Quincy Promes berada dalam kedudukan ofsaid.

Batshuayi merembat tinggi di depan pintu gol Ajax dari jarak dekat pada minit ke-73 selepas percubaan awal Pulisic dihalang.

Pemain kebangsaan Amerika Syarikat itu kecewa apabila sekali lagi percubaannya tersasar sebelum dia mencipta gol kemenangan.

Hantaran silangnya dari kiri menyebabkan pertahanan Ajax terkeluar daripada posisi dan membolehkan Batshuayi merembat bola masuk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 8:18 AM