AKSI penyokong Partizan Belgrade yang terlalu ganas.
Reuters

PENYOKONG Partizan Belgrade perlu menjaga kelakuan masing-masing ketika menyokong pasukan mereka menentang Manchester United dalam aksi Kumpulan L Liga Europa awal pagi Jumaat, kata jurulatih kelab Serbia itu, Savo Milosevic.

Bola sepak Serbia sering dicemari kekasaran dan isu perkauman dalam tiga dekad terakhir susulan pembubaran Yugoslavia dan Partizan beraksi dua perlawanan Liga Europa musim ini di dalam stadium tertutup berikutan masalah penyokong.

“Saya harapkan sokongan dengan semangat kesukanan oleh penyokong dan mereka sepatutnya sedar betapa pentingnya perlawanan ini,” kata bekas penyerang Yugoslavia dan Aston Villa Milosevic pada sidang media hari ini.

“Ia patutnya menggembirakan semua orang. Sokongan daripada penyokong dari tempat duduk boleh menjadi penentu, ia memberikan pemain lebih banyak tenaga daripada apa yang anda bayangkan.

“Ia akan menjadi suasana yang hebat kerana kami berdepan antara kelab terbaik dunia.”

Perlawanan menentang United akan diadakan dengan pengawasan ketat ketika ratusan penyokong pelawat dijangka berkunjung ke stadium Partizan di ibu negara Serbia.

Partizan mendahului kumpulan dengan empat mata daripada dua perlawanan, mengatasi United menerusi perbezaan gol.

AZ Alkmaar di tangga ketiga dengan dua mata dan Astana di tangga tercorot gagal meraih sebarang mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 10:07 PM