RUMMENIGGE
AFP

PENGERUSI Bayern Munich Karl-Heinz Rummenigge mengecam persembahan kelab itu yang dianggap ‘cuai’ susulan kemenangan tipis 3-2 ke atas Olympiakos yang menyaksikan kelab gergasi Jerman itu hilang seorang lagi bek tengah apabila Lucas Hernandez koyak ligamen buku lalinya.

“Saya tidak fikir prestasi yang kami hasilkan akan memberikan kami kejayaan yang serius jika kami gagal mengawal keadaan,” kata Rummenigge kepada skuad itu ketika jamuan selepas perlawanan.

Selepas meraih kemenangan tiga kali di Eropah, Bayern menghampiri peringkat kalah mati untuk tahun ke-12 berturut-turut.

Bagaimanapun kemenangan tipis di tempat lawan itu membawa padah apabila Hernandez mengalami ‘sedikit koyakan di bahagian ligamen dalaman buku lali kanannya’,” kata kelab itu hari ini.

Juara Piala Dunia 2018 itu, juga pembelian termahal dalam sejarah Bayern, dijangka tidak beraksi selama beberapa minggu dengan seorang lagi bek tengah Niklas Suele diketepikan sekuarang-kurangnya enam bulan selepas koyak ligamen lutut pada Sabtu.

Dua gol daripada Robert Lewandowski mengubah nasib Bayern di Athens awal pagi tadi selepas tuan rumah Olympiakos meraih gol awal menerusi Youssef El-Arabi.

Corentin Tolisso meledak gol ketiga Bayern pada pertengahan separuh masa kedua menerusi sepakan lencong jarak jauh.

Bagaimanapun pertahanan kelab Jerman itu dilihat jauh daripada mantap, teruatam selepas pemain tengah Olympiakos Guilherme menewaskan Manuel Neuer untuk 10 minit terakhir yang mendebarkan.

“Anda boleh jadi gila menonton perlawanan seperti itu. Semuanya perlu menjadi lebih baik,” kata pengarah sukan Bayern, Hasan Salihamidzic.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 9:19 PM