Paul Pogba. FOTO File AFP
Agensi

PAUL Pogba dan David de Gea terlepas sesi latihan hari ini menjelang kunjungan Manchester United ke Partizan Belgrade dalam saingan Liga Europa, awal pagi Jumaat ini.

Pogba tidak beraksi sejak 30 September berikutan mengalami kecederaan kaki namun terdapat ura-ura dia mungkin cergas untuk pertembungan di Serbia.

De Gea beraksi ketika United mencatat keputusan seri 1-1 berdepan pendahulu Liga Perdana, Liverpool pada Ahad lalu tetapi gagal hadir pada sesi pembukaan latihan di Carrington.

Luke Shaw, Nemanja Matic, Diogo Dalot dan Axel Tuanzebe juga tidak hadir tetapi terdapat sedikit khabar gembira buat boss Ole Gunnar Solskjaer dengan Jesse Lingard dijangka membuat penampilan selepas terpaksa diketepikan sebelum ini kerana mengalami masalah hamstring.

United berada di kedudukan kedua dalam Kumpulan L, sama mata dengan Partizan, selepas kemenangan ke atas Astana dan seri berdepan AZ Alkmaar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 8:16 PM