AFP

AKSI Clasico di antara Barcelona dan Real Madrid yang disusun semula akan diadakan pada 18 Disember depan biarpun mendapat tentangan daripada La Liga, umum Persekutuan Bolasepak Sepanyol hari ini.

Perlawanan paling berprestij di Sepanyol yang sepatutnya diadakan di Camp Nou pada Sabtu, ditunda minggu lalu susulan protes pra-kemerdekaan di Catalonia.

La Liga mencadangkan 4 atau 7 Disember dan akan memutuskan untuk membuat rayuan.

“Keputusan Jawatankuasa Pertandingan dibuat selepas menghalusi cadangan kedua-dua kelab yang dijemput untuk mencapai tarikh persetujuan dan memutuskan untuk diadakan pada 18 Disember,” menurut kenyataan RFEF.

“Ia juga menganalisis laporan daripada Jawatankuasa Pertandingan RFEF selain beberapa laporan yang dihantar La Liga yang dilihat berlaku percanggahan.

“Pada mesyuarat hari ini , Jawatankuasa juga menganalisa laporan terkini kedua-dua kelab yang mengekalkan cadangan awal mereka untuk mengadakan perlawanan pada 18 Disember.”

Ini bermakna, Barcelona yang mahukan perlawanan asal sepatutnya diadakan hujung minggu ini akan berdepan beberapa minggu yang mencabar sebelum Krismas.

Pada Disember, mereka dijadualkan untuk menentang Atletico Madrid di tempat lawan, Inter Milan dalam Liga Juara-Juara dan Real Soceidad yang menduduki tangga keempat La Liga.

Real Madrid akan menentang Club Brugge di tempat lawan dalam Liga Juara-Juara dan kemudiannya Valencia sebelum berkunjung ke Barca.

Namun kedua-dua kelab segera bersetuju dengan tarikh 18 Disember minggu lalu, beberapa minggu selepas diarahkan untuk bersetuju dengan tarikh baharu oleh RFEF.

La Liga yang pada awalnya mengusulkan penangguhan itu, tidak bersetuju mendakwa bahawa 18 Disember akan bertembung dengan perlawanan Piala Raja Sepanyol dan menjejaskan kepentingan ekonomi kelab terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 7:22 PM